Pada tahun 1785,
Syarikat Hindia Timur telah mendapatkan persetujuan daripada
Sultan Kedah di mana pihak Syarikat dibenarkan untuk menduduki Pulau Pinang
dengan syarat mereka membayar sewa tahunan dan membantu menentang musuh-musuh Sultan
terutamanya pihak Siam di utara dan pihak Bugis di Selangor. Kapten Francis
Light telah dilantik Pesuruhjaya di Pulau Pinang apabila Syarikat Hindia Timur
mengambil alih pulau itu secara rasmi pada 11 Ogos 1786. Dengan ini bermula
penjajahan British di Tanah Melayu.
Pulau Pinang telah dijadikan sebagai
jajahan takluk Benggala dan berada di bawah penguasaan Gabenor di Kalkatta.
Tidak lama kemudian, Pulau Pinang telah menjadi sebuah pertempatan yang sibuk
apabila pedagang-pedagang China dan India melihat kelebihannya untuk berhijrah
ke sini kerana ia merupakan sebuah pelabuhan bebas dan tidak mengenakan cukai
yang tinggi. Jumlah penduduknya meningkat dari 1,000 orang pada tahun 1788
kepada 12,000 orang pada tahun 1804 waktu mana orang Melayu merupakan
jumlah penduduk yang paling ramai diikuti dengan orang India dan orang China.
Pada 15 Ogos
1795, angkatan Inggeris telah tiba di Melaka dan mengambil alih kuasa dari
tangan Gabenor Belanda, Abrahamus Couperus. Walaupun berlaku tentangan terhadap
penyerahan Melaka kepada Inggeris, ianya tidak mengakibatkan sebarang
pergeseran di antara mereka. Melaka terus ditadbir oleh pegawai Belanda di
bawah pengawasan seorang Residen Inggeris.
Pada tahun 1826,
Pulau Pinang termasuk Seberang Perai, Melaka dan Singapura telah digabungkan
untuk membentuk Negeri-negeri Selat. Pulau Pinang, yang merupakan penempatan
terawal Inggeris telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran. Lama kelamaan,
kepentingan Melaka semakin luput manakala Pulau Pinang pula semakin membangun.
Namun begitu, kemajuan di Singapura juga telah meningkat dari segi jumlah
penduduk dan perdagangan, lantas pusat pentadbiran dipindahkan ke Singapura
pada tahun 1832. Negeri-negeri Selat berada di bawah penguasaan Gabenor Jeneral
di Kalkatta. Walau bagaimanapun, pada tahun 1867, Negeri-negeri Selat
diasingkan dari penguasaan Inggeris di India dan telah dijadikan sebuah Koloni
Diraja secara langsung di bawah penguasaan Pejabat Tanah Jajahan di London.
Pada 13 Disember
1941, tentera Jepun telah berada di Kedah dan memulakan kemaraan mereka ke
Singapura. Tentera Jepun mendarat di Singapura pada 8 Februari dan Singapura
menyerah kalah kepada Jepun pada tanggal 15 Februari 1942. Sabah jatuh ke tangan
Jepun pada 19 Januari 1942 sementara Sarawak pula pada 1 April 1942. Pihak
Jepun menubuhkan pentadbiran tenteranya di Malaya, yang bertahan selama 42
bulan. Penjajahan Jepun telah membawa penderitaan kepada kebanyakan penduduk.
Penjajahan ini tamat apabila pihak Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos
1945.
Di Tanah Melayu,
penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria
Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan
Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan
kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap
negara. Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak
kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan
institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris
memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu
termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan
Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab
Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh
tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik
Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.
Kongres bersetuju
dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays
National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres
Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan
penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan
sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara
kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan
agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan
mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang
ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah
Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak
kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah
Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah,
Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri
Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi
British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis
Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.
Kedudukan Majlis
Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain
berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan
dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang
Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui
kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.
Pembubaran Kesatuan Malaya pada tahun 1948 telah memaksa pihak British untuk
membuka jalan bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Akibat daripada dua
tekanan utama yang terdiri daripada peristiwa Darurat dan juga perkembangan
pergerakan nasionalis Melayu iaitu UMNO, pihak British memperkenalkan sistem
pilihanraya pada tahun 1951 di peringkat tempatan.
Masalah dalam
mendapatkan kerjasama politik daripada kumpulan etnik utama di negara ini dalam
memperjuangkan kemerdekaan berjaya diatasi dengan pembentukan pakatan di antara
UMNO dan Persatuan Cina Malaya (Malayan Chinese Association-MCA) dan
kemudiannya disertai oleh Kongres India Malaya (Malayan Indian Congress-MIC).
Ketika pilihanraya persekutuan yang pertama diadakan pada tahun 1955, pakatan
UMNO-MCA-MIC yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah memperolehi kemenangan
yang besar dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Tunku
Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Persekutuan Malaya.
Pakatan tersebut telah berjaya memaksa British untuk melepaskan kuasa
pemerintahan mereka dan pada 31 Ogos tahun 1957, Persekutuan Malaya telah mencapai
kemerdekaannya.
TANGGAL 31 OGOS diabadikan saban
tahun tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan
ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan laungan merdeka dan cuti umum
tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan enuh kesedaran
dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka.
Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan
kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin
ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan
bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan
minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat
berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah
sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara
wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut
keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota
keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh semua rakyat.